Posts

Bermuka tiada

Aku ini--  tidak suka akan bermuka-muka jika meluat aku katakan saja, jika jijik aku ludahkan saja. Jadi lekaslah manusia  berambus dan angkat kaki! kerana aku sudah terlalu jaki hingga terbelahak mahu mati. Pergi mampos aku katakan kerana aku tidak suka bertopengkan-- pergi mati aku herdikkan kerana-- Bila aku ini syaitan, ye aku syaitan.

Puisi buat Ayahanda

Ayahanda-- Aku mungkin tidak pernah Duduk dan berbual tentang hari-hari tuamu, Ayah-- Aku mungkin tidak pernah membantu membuang Duri dan kerikil dari jiwa usangmu. Tapi-- Jauh dalam hati kering ini Sayang aku tidak pernah pudar Apalagi luntur. Ayah-- Dengarkan aku bicara. Mungkin rakan taulan itu memberi kamu senyum bergulung simpul, Mungkin manusia-manusia itu memberikan kamu ketawa bersiul. Tapi ayah-- Mereka tiada untuk selamanya seperti mana aku akan hadir buat mu tiap masa. Herdik aku kepada kamu, Marah aku kepada hidup kamu Kerana aku mahu melihat kamu menjadi manusia yang bergelar ‘Ayah’, Menjadi lelaki yang cantik, elok, molek di dunia. Biar tidak seberapa di mata mereka-mereka Tapi cukup di mata anakanda. Ayah-- Ampunkan aku. Marah aku, herdik bising aku Hanya mahu mengubah kamu, Kerana aku anakandamu.

Cinta

Tahun ini-- tahun yang seperti selalu. dosa yang sama aku ulang bertalu, makanan sama yang aku hadam seperti dulu, dan-- orang itu juga yang aku cinta  tidak terluputkan dari dulu. Biarkan tahun ini seperti tahun berlalu,  Biarkan senyum bertaring itu  yang akan aku tatap selalu. Cinta tunggu-- jangan usir aku dulu, kerna aku masih rindu.

Tertakdirkan

Biarkan garis-garis pecah di telapak itu, lihat saja langkahku terjatuh mengaduh cuba untuk mengejar dan mengunci pandanganmu. Abaikan hancur luluh hati aku, tetap aku mainkan kembali pita hati, masih ku taruh cinta di setiap inci, agar aku dapat lagi memberi. Sakit , ya aku sakit. mengapa buang cintaku? kenapa sampahkan rasaku? atau.., hidup aku tertakdirkan  menari-nari sendiri dalam  bayanganmu yang sepi?

Bonda , Ayahanda

Aku teliti raut wajah itu , wajah perempuan yang pernah menumpangkan rahimnya untuk aku. aku pandang wajah sungul itu, wajah lelaki yang pernah senyum gembira memeluk jasad kecil aku. sungguh aku terlalu ingin mengucup dahi mereka, merangkul mereka. sungguh aku berkehendak memegang jiwa mereka membelai hati usang mereka. Bonda , ayahanda-- maafkan anakanda mu yang selalu mengherdik sehingga terlupa yang sebenarnya hati kamu telah luka tercalar-carik. Ibu , ayah-- pedulikanlah anakanda mu yang selalu berlari -lari mengejar dunia dan membiarkan diri kamu hilang dalam jiwa. Sungguh aku mahu pulang kedalam rangkul kalian seperti dahulu sumpah tidak terbohongkan, aku mahu kembali ketempat aku dulu-- bonda ,ayahanda-- aku mahu pulang.

Seseorang

Harus bagaimanakah aku mahu bilang sama seseorang. Seseorang yang aku pilih untuk diberi jiwa , diberi cinta. Namun dia mencampakkan segala ke rimba yang gelap gelita. Aku mahu bilang sebanyak mana kali seseorang mencampakkan jiwa aku, menyiatkan hati aku, melemparkan cinta aku, aku tetap sudi mengutip dan membentuknya elok tertib. Lalu , aku memangku jiwa aku, memeluk perasaan aku dan terus aku berdiri di situ dan masih bersendiri menunggu .
Malam itu , aku tertanya-tanyakan pada bulan. Di manakah kisah cinta kita? sewaktu erat kau pegang jiwa aku. Kau kata jiwa ini yang engkau akan bawa selalu. Lalu aku persoalkan pada bintang. Di manakah cerita cerita dongeng engkau dulu? sewaktu engkau genggam tangan aku. Kau kata cinta engkau hanya satu . Tapi , apa yang tinggal malam ini hanya aku bersama cinta aku yang engkau injakkan , bersama cinta palsu yang akan aku semadikan bersama jiwa yang dihenyak-lanyakkan.